May 23, 2016

MITSAQAN GHALIZA







وَكَيْفَ تَأْخُذُونَهُ وَقَدْ أَفْضَىٰ بَعْضُكُمْ إِلَىٰ بَعْضٍ وَأَخَذْنَ مِنْكُمْ مِيثَاقًا غَلِيظًا

Dan bagaimana kamu tergamak mengambil balik pemberian itu padahal kasih mesra kamu telah terjalin antara satu dengan yang lain, dan mereka pula (isteri-isteri kamu itu) telahpun mengambil perjanjian yang kuat daripada kamu?



Perjanjian ini Adalah Perjanjian Antara Kamu dan Allah!


Wahai diri, tahukah engkau bahawa lafaz sakinah yang engkau ucapkan saat bertemu dengan wali kepada bakal isterimu adalah lafaz yang penuh dengan janji-janji untuk memikul amanah?

Wahai diri, tahukah engkau bahawa engkau telah memilih untuk berjanji kepada Allah azzawajalla bahawa engkau akan memastikan dirinya dan dirimu selamat di dunia dan akhirat?

Wahai diri, tahukah engkau bahawa lafaz sakinah yang bakal engkau ungkapkan itu, adalah janji kepada wali bakal isterimu, bahawa engkau akan mengambilalih segala tanggungjawab yang Allah amanahkan ke atas bahunya, kepada dirimu?

Wahai diri, insaflah. Persiapkan segala apa yang ada, semoga Allah mengiranya sebagai usaha terbaik dari dirimu.


Aku, Engkau dan Kita




Wahai Mawarku,
Sesungguhnya cerita yang berputar selepas ini adalah mengenai kita.
Sesungguhnya tiada lagi aku dan engkau,
Melainkan kita.

Duhai mawarku,
Maafkan aku atas segala kekurangan, kesilapan yang bakal engkau saksikan nanti.
Sesungguhnya aku hanyalah insan biasa yang banyak kelemahannya.
Tak terlepas dari melakar kata-kata yang kadang-kala mengguris hatimu,
Terlupa akan posisi dan tindakan yang sebenar,
Khilaf dalam melayanimu sejajar dengan hak yang harus engkau terima,
Peringatkanlah aku,

Semoga baitul muslim kita belayar menuju ke jannahNya.

Pintaku kepadamu,
Lakarkanlah kisah ini bersama aku,
Kerana sesungguhnya cerita ini adalah sebuah kisah;

Tentang kita. J

Apr 13, 2016

Gelisah




Gelisah.

Dilema penuh mendalam.

Cuba mencari makna sebenar kehendak.

Hati yang penuh keliru.

Adakah ini pilihan yang tepat?

Atau aku hanyut dalam percaturan yang salah?

Atau ini bisikan halus Syaitan untuk memesongkan jiwa?

Atau ini adalah ujian dari Tuhan?


Aku gelisah...

May 21, 2014

Habuk



Memang lama betul tak menulis apa-apa.

Rasa lain macam bila buka balik laman ni.

Ada juga cuba nak tulis ayat gramatis macam dulu. 

Takpelah, dah lama sangat setting diri sebagai mujahid.

Keras dah nak tulis.



Habuk......

+ Tengah cari idea nak bincang apa dengan anak-anak didik malam ni 

Dec 31, 2012

Bersih



 Umar bin Alkhatthab r.a. berkata, “Saya telah mendengar Rasulullah SAW bersabda, “Sesungguhnya sesuatu amal itu bergantung kepada niat. Penilaian Allah bagi setiap orang, ialah apa yang dia niatkan. Maka sesiapa berhijrah (dari daerah kafir ke daerah Islam) semata-mata kerana ta’at kepada Allah SWT dan Rasulullah SAW, maka hijrah itu diterima oleh Allah SWT dan Rasulullah SAW. Sebaliknya sesiapa berhijrah kerana keuntungan dunia yang dikejarnya, atau kerana perempuan yang akan dikahwini, maka hijrahnya bergantung kepada apa yang dia niatkan ketika berhijrah ke sesuatu tempat itu.”
(Riwayat Bukhari& Muslim)

Bismillah. Hadith yang saya bawa di atas merupakan sebuah hadith yang sepatutnya sudah biasa kita dengar dan kita baca. Tidak kiralah sama ada kita orang dakwah atau bukan orang dakwah, hadith ini menjadi satu hadith yang sangat popular. Malah, Imam an-Nawawi sendiri menyusun hadith ini di tempat yang pertama dalam syarah hadith 40 beliau.

Saya tidak bermaksud untuk menerangkan syarahan hadith ini, tetapi lebih kepada satu perkongsian dalam keghairahan dan keazaman kita terjun dalam medan amal dakwah dan tarbiyyah.

Hijrah
Seorang akh yang memahami bahawa hidupnya sehari-hari di dunia ini adalah hujah untuk kebahagiaannya yang sebenar di negeri akhirat kelak akan berusaha sedaya upaya untuk mempersiapkan dirinya untuk diadili oleh Allah SWT.

Hadith ini bagaikan menusuk tepat kepada seorang lelaki yang bergelar muslim.

Kamu hijrah kerana Allah dan Rasul, Kamu dapat Allah dan Rasul. Tetapi, jika kamu hijrah kerana Ummu Qais, kamu dapat Ummu Qais

Falsafah ini sangat mudah di fahami. Cabaran dan tarikan terhebat kepada seorang lelaki adalah wanita. Hebat atau tidak lelaki itu tidak akan mengubah hakikat ini. Ironinya, niat lelaki ini bukanlah satu niat yang tidak baik. Lelaki ini mahu ikut berhijrah kerana mahu berkahwin dengan Ummu Qais.

Berkahwin?
Hukum asal perkahwinan adalah harus. Pada keadaan lain boleh jadi sunnah, wajib dan kadangKala di sebut berkahwin kepada seorang akh yang masih bujang, tentu akh itu akan tersipu-sipu atau kadangkala tidak memberikan sebarang reaksi kerana sudah selalu sangat diajukan persoalan yang sama. Ini bukan isu utamanya.

Isunya ialah niat untuk bernikah itu hadir pada saat sesuatu yang lebih besar berlaku. Hijrah untuk Allah dan Rasulnya.

“Orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad di jalan Allah dengan harta benda dan diri mereka adalah lebih tinggi darjatnya di sisi Allah; dan itulah orang-orang yang mendapat kemenangan.

 (At-Taubah, 9:20)

Lelaki dalam hadith ini seharusnya berpeluang untuk mendapat kedudukan dan darjat yang mulia di sisi Allah dan Rasulullah SAW kerana bersama-sama dalam rombongan hijrah itu. Malah, beliau turut ditawarkan ganjaran pahala yang hanya Allah SWT tahu nilaiannya.

Tetapi mungkin kerana dibutakan oleh tarikan seorang wanita yang mahu dijadikannya sebagai isteri, lelaki ini memilih untuk merendahkan jiwanya. Memilih untuk ikut berhijrah dalam rombongan yang mulia di sisi Allah dan Rasul  tetapi hanya sekadar untuk memenuhi hasrat peribadinya.

Saya tidak mengatakan perkahwinan itu sebuah perkara yang kecil, tetapi lelaki ini mendapat satu kerugian yang cukup besar kerana tidak menyedari perkara yang telah dia lepaskan.

Soalan

Ikhwah, cukuplah sekadar ringkas saya berkongsi pandangan terhadap hadith ini berdasarkan rujukan saya terhadap syarahan hadith Arbain imam Nawawi.

Satu persoalan yang seharusnya kita sama-sama tanyakan pada diri.

Mengapakah aku memilih untuk bersama-sama dalam dakwah dan tarbiyyah?

Soalan ini masih sangat relevan walaupun kita mungkin sudah bertahun-tahun berintima’ dalam amal jamaie.

Mungkinkah niat asal kita sekadar untuk mengikut arus? Kerana orang lain ada usrah, maka kita pun join supaya tidak berasa terpinggir.

Atau mungkinkah kerana kita mempunyai hasrat untuk menonjolkan keupayaan diri? Supaya orang lain kagum dengan keupayaan kita dalam memimpin manusia, berucap di khalayak atau lantang bersuara di demonstrasi atau perkumpulan-perkumpulan dalam soliditari terhadap isu-isu semasa umat Islam.

Atau kita terpana dengan akhlak dan penampilan muslimah yang berintima’ dalam dakwah dan 
tarbiyyah? Supaya kita dilihat sekufu? Atau mengulangi kisah pemuda yang ikut berhijrah dan Ummi Qais dalam hadith di atas?

Ini adalah antara persoalan-persoalan yang akan berlegar-legar sepanjang jalan dakwah ini.

Bersih

Oleh itu, marilah bersama-sama kita bersihkan niat dan agenda kita. Nasib umat Islam yang diletakkan dalam keadaan yang sangat terhina pada masa sekarang tidak akan mampu di ubah dengan niat dan agenda-agenda yang kecil, apatah lagi agenda yang tidak bersih.

Diri kita tidak akan mendapat manfaat yang sebenarnya jika kita gagal untuk membersihkan hati dari hasrat-hasrat yang tidak bersih. Kata orang, alang-alang dah jadi muslim, biarlah jejak sampai ke syurga.

Muhasabah dan bersihkan niat kita hatta dalam sekecil-kecil persoalan sekalipun.Moga Allah redha.




[Fahmi]: Ini adalah post saya yang ke-100 (Setelah usia blog ini sudah 3 1/2 Tahun).. hooray, hooray. Penat mencari idea yang paling istimewa. Ini sahajalah yang termampu setelah berbulan-bulan tidak menulis.




Sep 10, 2012

Bitaufik wannajah


Selamat menduduki peperiksaan UPSR 2012 untuk satu-satunya saudara lelaki seibu seayah saya:



  "MOHAMMAD HAKIMI BIN MD BAHRUDIN"



'Faiza 'azamta fatawakkal 'alallah'
-Kemudian apabila engkau telah membulatkan tekad, maka bertawakkallah kpd Allah-
(3: 159)




Aug 29, 2012

Muslim itu Patriotik.






Kasih Sayang

Sekiranya patriotik yang dilaungkan oleh mereka itu bermaksud rasa kasih sayang terhadap tanah air, merasa mesra dengannya, cinta dan merasa belas terhadapnya, maka ini adalah sesuatu yang telah tersedia dalam fitrah manusia dari satu sudut. Dari satu sudut yang lain pula ianya adalah merupakan suatu perintah dalam Islam. Bilal yang mengorbankan segenap apa yang ada pada dirinya demi akidah dan  agamanya,  adalah  juga  Bilal  yang  merakamkan  rasa  kerinduannya  terhadap  Makkah  dalam serangkai syair yang meresapkan rasa kehalusan dan kemanisan........


keagungan dan kemerdekaan

Sekiranya patriotik  yang mereka maksudkan itu  bererti kewajipan bekerja dengan seluruh tenaga dalam  usaha  memerdekakan  negara  dari  tangan  perampas-perampas, memenuhkan  tuntutan kemerdekaan dan menanam prinsip keagungan dan kemerdekaan dalam jiwa anak-anak negara itu,

maka dalam hal ini juga kita bersama-sama dengan mereka dan Islam telah mendesak perkara ini dengan desakan yang sungguh-sungguh. 

Allah berfirman:
"Keagungan itu bagi Allah, RasulNya dan bagi orang-orang mu'min, tetapi orang-orang munafiq
tidak menge tahui': 

Firman Allah lagi:

“Allah tidak menjadikan (melapangkan) jalan bagi orang-orang kafir untuk mengatasi orang-orang mu'min '

kemasyarakatan

Sekiranya mereka maksudkan dengan patriotik itu mengeratkan pertalian antara penduduk serantau dan membimbing mereka agar menggunakan kekuatan yang ada pada mereka untuk kebaikan mereka, kita juga bersetuju dengan mereka dalam hal ini dan Islam memandangnya sebagai suatu kewajipan yang pasti. RasuluLlah SallaLlahu 'alaihi Wasallam telah bersabda:  "Jadilah kamu hamba-hamba
Allah sedangkan kamu dalam keadaan bersaudara". 

Allah juga berfirman:

"Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu menjadikan teman kepercayaanmu orang-orang yang luar dari keluargamu, mereka tidak akan henti-hentinya melakukan kemudaratan terhadapmu.
Mereka menyukai sesuatu yang menyusahkan kamu, telah ternyatalah kebencian dari mulut mereka
dan apa yang disembunyikan hati mereka lebih besar lagi.  Sesungguhnya telah kami terangkan
kepadamu ayat-ayat (tanda) jika kamu memahaminya ".



[Fahmi]; Selamat ulang tahun kemerdekaan ke-55 !

terimalah lagu dari saya =)



Aug 5, 2012

BADAR ITU SAKSI


Kredit

Pertempuran yang sangat dahsyat bakal berlangsung tidak lama lagi. Keadaan antara kedua-dua belah pihak sudah saling berkecamuk, tidak mampu ditahan-tahan lagi.

Pada masa itu kelihatan seorang Jeneral sedang menadah tangannya. Seperti meminta sesuatu dengan sungguh-sungguh. Hingga jatuh selendang dari bahunya yang penuh mulia.

Itulah sang Rasul, seorang jeneral yang pernah menggegarkan lipatan sejarah. Yang menjadi titik-tolak kepada perubahan dunia seluruhnya. Kelihatan seorang temannya sedang mengatakan sesuatu. Seperti memujuk sang Rasul.

Di pihak lain.

Kelihatan seorang yang begitu berkarismatik, dikelilingi oleh ramai tentera-tentera berkuda. Wajah yang penuh keyakinan. Sambil memeriksa tenteranya, kelihatan mulutnya terkumat-kamit melafazkan sesuatu.

Itulah Seorang Abu Jahl, figura yang amat digeruni dan dibenci oleh musuh-musuhnya. Seorang bangsawan sombong lagi angkuh. Yang mempunyai dendam tidak terlunas kepada Sang Rasul, yang menjadi jeneral di pihak musuhnya. Yang bakal disembelih bila-bila masa.




 


Kesudahan

Semua tahu. Apa pengakhiran kepada kisah ini ini.

Siapa menang dan siapa kalah. Siapa mulia dan siapa hina.

Doa sungguh-sungguh seorang Rasul. Yang amat diingati lafaznya.

" Ya Allah, sekiranya kumpulan ini tewas hari ini, Engkau tidak lagi akan disembah."

Sehinggalah pertolongan Allah datang.

Dengan Jibril AS datang dengan memacu kuda, mengetuai tentera Malaikat di bukit sebelah sana.



Dan tidak kurang ramai juga yang tahu, lafaz penuh angkuh dan sombong  Abu Jahl, kepala Musyrikin. Mencabar Allah tanpa rasa malu.

Sehinggalah Allah mendatangkan keputusan-Nya.


“Rasakanlaah, sesungguhnya kamu ini orang yang ‘perkasa’ lagi ‘mulia’”
(Ad-Dukhaan: 49)

Dua Wajah

Pastinya berbeza wajah antara dua jeneral ini.

Wajah jeneral yang juga sang Rasul penuh pengharapan. Tetapi optimis.

Optimis yang disertai dengan doa merupakan satu manifestasi ketaatan yang sebenarnya.



Abu Jahl. 

Pendokong tulen jahiliyyah. Penentang kuat kebenaran.

Beliau juga turut berdoa kepada Allah.

Tetapi Doanya hadir tanpa pengharapan. 
Mustahil untuk hadir tanpa Iman. 


Optimis dengan doa yang penuh sombong ialah sebuah kebodohan.

Manifestasi keangkuhan seorang komander musyrikin.

Masihkah ada Abu Jahl dalam kalangan kita?

Lebih tepat lagi. 

Masih adakah lagi Abu Jahl dalam diri KITA?










Jul 19, 2012

Tetamu itu.



Raudhah Ramadhan Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)
“Wahai orang-orang yang beriman, difardhukan keatas kamu puasa (Ramadhan/perintah wajib) sepertimana telah difardhukan kepada orang-orang yang terdahulu dari kamu,(puasa orang dahulu) semoga kamu menjadi orang yang bertaqwa”                                                                                                                                       

                                                                                                                                      (Al-Baqarah : 183)



"Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia Dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk Dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah…"                                                                                                                                        

(Al Baqarah:185)




“Barangsiapa berpuasa Ramadhan dengan keimanan dan mengharap pahala (keredhaan) Allah, maka diampuni dosa-dosanya yang terdahulu.                                                                                                                         

(Hadis Riwayat Bukhari)








Cepat-cepat siap, tetamu kita dah nak sampai ni :)

Jul 17, 2012

Refleksi



Dalam mencuba untuk merefleksi diri ini saya memerlukan cermin. Cermin yang akan memaparkan segala-galanya. 




-kredit-


Cermin yang akan memaparkan wajah, yang akan memperlihatkan kesan amal, dan kefahaman saya.

Beberapa hari lagi, saya akan memanjangkan langkah ke tahun 3 di universiti. Langkah yang sudah berada di pertengahan. Maka saya akan menjangkakan sesuatu yang berbeza berbanding 'saya' pada dua tahun yang lalu.

Antara matlamat pertama saya apabila menjejakkan kaki di dalam kawasan universiti saya ialah saya mahu 'grad' dengan bahagianya. Matlamat ini juga saya 'compile'kan sekali dengan cita-cita untuk menjadikan institusi pengajian saya itu sebagai universiti tarbiyyah dengan bergerak secara serius di dalam Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA).

Walaupun tidak semudah yang disangka. Walaupun saya kadang-kala, atau seringkali alpa dan lari dari matlamat ini. 

Tetapi janji tetap sebuah janji:

“Apakah kamu mengira bahawa kamu akan masuk surga, pada-hal belum datang kepadamu (cobaan) sebagaimana halnya orang-orang terdahulu sebelum kamu? Mereka ditimpa oleh mala-petaka dan kesengsaraan, serta digoncangkan (dengan bermacam-macam cobaan) sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya, ‘Bilakah datangnya pertolongan Allah?’ Ingatlah, sesungguhnya pertolongan Allah itu amat dekat.” 

(Al-Baqarah: 214)


Fantasi

Fantasi atau bayangan. 

Pada masa ini saya sedang membayangkan diri ini berada di hadapan cermin dalam masa setahun dua lagi membetulkan jubah konvensyen saya sambil tersenyum puas. Sambil membelek-belek muka, saya berkata sendiri di dalam hati.

"Fahmi, kau telah sampai ke sini.... akhirnya.."

Saya sedang membayangkan ini. Serius!



Sepatutnya saya reserved post ini selepas graduate nanti. Tapi takpelah, saya tiada idea sebenarnya untuk mengekspresikan rasa. Jadi saya pilih ini :D


Jun 13, 2012

Antara Dua Daerah



Kita yakin, kita percaya. Setiap perkara yang kita lihat, kita dengar dan malah yang kita sentuh akan ada yang keduanya kecuali Allah SWT.

Baik atau Buruk.

Cinta atau benci.

Menang atau tewas.

Semangat atau lemah.

Syurga atau neraka.

Perkara-perkara ini adalah sunnatullah. Ini memang satu ketetapan yang tidak mampu kita ubah. Hatta, sehebat manapun kekuatan atau kebijaksanaan yang ada pada kita untuk mengubah fantasi kita menjadi sebuah realiti yang boleh kita hidu, rasa dan lihat, hakikatnya tidak akan berlaku tanpa izin Allah SWT.


Penceritaan epik ‘Dr Jekyll & Mr Hyde’ yang digarap hebat hasil fantasi Robert Stevenson tidak akan menjadi sebegitu epik tanpa kehadiran salah satu watak yang tertera dalam tajuk ceritanya itu. Tanpa Dr Jekyll, Mr Hyde akan dikenali sebagai seorang misteri yang jahat sahaja dan begitu jugalah tanpa kehadiran Mr Hyde, Dr Jekyll hanyalah seorang doktor biasa. 

Kedua-dua watak ini saling melengkapi antara satu sama lain, lebih-lebih menarik lagi datang dari seorang insan yang sama. Ironinya, kedua-dua watak ini tidak muncul dalam keadaan serentak, akan ada masa-masanya dia menjadi Dr Jekyll dan ada masanya dia akan berubah watak menjadi si bengis lagi kejam dalam persona Mr Hyde.

Konsep ini dipaparkan juga dalam sebuah cerita lakonan Ajay Devgan, yang mendakwa dirinya mempunyai dua karakter berbeza iaitu Tarang sebagai dirinya yang normal dan Ranjit sebagai ‘dark side’ dalam dirinya. Kedua watak ini juga mustahil untuk dipaparkan serentak oleh pelakon itu walaupun hadir dan sering bertukar-tukar secara tidak stabil.

Begitu jugalah antara....



Islam dan Jahiliyyah

Jahiliyyah.

Ditafsir dan ditanggapi dengan pelbagai definisi.

Kegelapan. 

Kebodohan.

Main bola dengan seluar pendek.

Main game.

Tengok Movie.

Berchatting dengan bukan mahram.

‘Hihi’, ‘hehe’, ‘huhu’ ….. di tempat yang tidak sepatutnya.

Malah, kekufuran dan maksiat kepada Allah SWT juga dianggap sebagai jahiliyyah.

Terpulang kepada anda untuk memilih kepada definisi yang tepat mengenai kata ini.


………….


Apabila kecil dahulu.

Kita sering diperingatkan.

“Jangan sesekali bohong ya. Berdosa tahu!”

Apabila kita ditegah untuk tidak melakukan sesuatu perkara, biasanya kita akan diberitahu tentang apa kesudahannya apabila kita berdegil dan masih mahu melakukan sesuatu perkara tersebut.

Akal tidak boleh menerima jika dilarang dan kemudiannya,

“shhh.. Jangan banyak tanya, dah orang cakap dosa, dosalah.”


Seharusnya, sikap itulah yang tidak cocok untuk kita ambil dalam isu antara kita dan jahiliyyah.

Sebelum memilih untuk jauh dari sesuatu, kita kena mengenalinya dulu.


Pilih sahajalah apa-apa tafsiran mengenai Islam dan jahiliyyah.

Hakikatnya.

Akan menjurus pada satu matlamat dan tujuan yang sama.

Seperti Dr Jekyll dan Mr Hyde,

atau

Tarang dan Ranjiv,

Islam dan Jahiliyyah itu jauh berbeza.




Firman Allah,


   “Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam ugama Islam sepenuhnya dan janganlah kamu menurut jejak langkah syaitan, sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagi kamu.”
(Al-Baqarah: 208)


Dan lihat apabila ayat ini ditafsir di dalam fi zilal al-Quran oleh Sayyid Qutb.


….Sesungguhnya siapa yang tidak 'masuk' ke dalam Islam dengan keseluruhannya, dan tidak menyerahkan dirinya sepenuhnya untuk dipimpin oleh Allah dan syariah-Nya, juga tidak membebaskan dirinya dari sebarang fahaman dan pemikiran lain, dia telah berada di atas jalan syaitan, dan meneruskan langkahnya di dalam langkah-langkah kesyaitanan.

(Fi Zilal Al-Quran).


 Yang jelas menunjukkan dua pilihan.

Islam atau Jahiliyyah.

Pimpinan Allah atau langkah Syaitan.








Kita harus memilih

Bukan mudah.

Untuk mengorbankan masa, wang dan tenaga kita.

Duduk dalam majlis-majlis halaqah.

Mendengar bait-bait peringatan.

Merenung masa depan,

Diri.

Keluarga.

Ummah.




Dan tentunya tidak semudah sangkaan kita dalam memilih,

antara 

Islam. 

dan jahiliyyah.

Tetapi.

Ketahuilah bahawa Allah SWT telah menganugerahkan kita.
Dengan ini.

“maka Allah mengilhamkan kepada jiwa itu kefasikan dan ketakwaannya”
(as-Syams:8)


Tiada keindahan yang mampu diatasi apabila kita membuat pilihan yang tepat.

Dan
Tiada yang lebih besar dari kerugian dalam membuat pilihan.

“sesungguhnya beruntunglah orang yang menyucikan jiwa. Dan sesungguhnya merugilah orang yang mengotorinya.”
(as-Syams: 9-10)

Ini petunjuk dari langit.

Tepat kepada kita.




Wahai adik-adikku

Dalam pengorbanan tidak berpenghujung ini.

Masa, harta dan titisan keringat yang antum semua rela korbankan.

Demi melihat Islam kembali ke puncaknya.

Bukanlah sesuatu yang mudah.

Jalan ini tersangatlah panjang.

Ibarat pendakian ke sebuah puncak gunung.

Di mana jahiliyyah itu ibarat beban-beban yang akan memperlahankan pendakian antum ke mercu kejayaan.
Beban-beban ini akan menambah kepenatan.

Ada yang akan berasa bosan, letih, putus asa.

Tiada pilihan lain.

Antum harus memilih.



Penutup
Tulisan ini dikarang dengan penuh berat dan letih sekali.

Ketahuilah bahawa jari-jari yang menari ini akan menjadi saksi.

Akal yang memikirkan persoalan ini akan lebih dahulu disoal.
Kesaksian ini.

Dan ketahuilah.

Tulisan ini untuk kamu wahai adik-adikku.


Untuk kita. =)

May 16, 2012

Hari-Hari bersama murabbi


Untukmu.. Murabbiku =)


-SK Lelaki Bandar, Kluang (1998-2000)


-SK Pekan Baru, Muar (2000-2000)


-SRK Laksamana Kota Tinggi (2000-2001)


-SK Pintas Puding, Batu Pahat (2001-2003)


-SMK Tun Ismail (2004-2006)


-SM Sains Seremban (2007-2008)


-Matrik Johor, Sunway Uni, Monash....


"Terima Kasih Cikgu!"

Apr 27, 2012

One Step Closer


Untuk Lepasan SPM 2011.
Mari sertai kami di UKM.

Persediaan untuk menempuh alam baru yang serba mencabar di IPT.





Apr 24, 2012

Dari cengkaman Sekularisme kepada jerat liberalisme



Amaran !
Paradigm Shift – One person may have different point of view. They can see the same information in an entirely different way. (Thomas Kuhn. Experiment of duck-rabbit optical illusion).- Application of Science (Monash University 2012)

Berdasarkan teori eksperimen di atas, penulisan ini akan mengambil kira sudut pandang daripada dua individu berbeza untuk mengelakkan sebarang ketidakadillan pendapat pribadi semasa proses penulisan dijalankan.

Kami juga menulis atas kapasiti sebagai seorang Muslim dan rakyat marhaen, sama sekali bukan mewakili mana-mana individu/persatuan/jemaah atau parti politik.

TUNTUTAN 8 PERKARA BERSIH

1.      Bersihkan senarai undi
2.      Reformasikan Undi Pos
3.      Gunakan Dakwat Kekal
4.      Akses Media yang Bebas dan Adil
5.      Tempoh Kempen Minima 21 Hari
6.      Kukuhkan Institusi Awam
7.      Hentikan Rasuah
8.      Hentikan Politik Kotor

Meneliti dan memahami 8 tuntutan yang dikemukakan oleh BERSIH 3.0 akan membawa kepada satu jawapan yang hampir sama, iaitu bersetuju dengan semua tuntutan tersebut. Dengan bahasa mudahnya, kita ingin melihat Pilihanraya Umum yang berlaku empat atau lima tahun sekali itu berlaku dengan lebih adil dan telus.

Antara tuntutan yang signifikan dalam kesemua tuntutan di atas ialah perkara ke empat iaitu akses media yang bebas dan adil. Arus media perdana seperti Buletin Utama dan Berita Harian seharusnya berperanan lebih professional sebagai media yang diikuti perkembangannya oleh pelbagai lapisan masyarakat di Malaysia. Apatah lagi laporan yang melibatkan isu-isu politik antara kerajaan dan pembangkang.yang dilihat terlalu berat sebelah dan tidak adil.

Tuntutan lain seperti hentikan rasuah, politik kotor dan tempoh kempen minima 21 hari juga dilihat signifikan dengan konsep pilihanraya yang bersih, telus dan adil.

Lalu, merujuk kepada apa kebimbangan ini terhasil ?

Bukankah tuntutan dalam Bersih itu jelas ?

Tiadakah punya agenda lain ?

Kebimbangan Kami.

Banyak perkara yang kami khuatiri dan bimbangi mengenai himpunan Bersih 3.0 ini. Antara punca kebimbangan kami ialah kekuatan pengaruh golongan yang mendukung idea liberalisme dalam himpunan ini. Kelibat individu seperti Dato’ S. Ambiga sebagai pengerusi bersama Bersih 3.0 ini seharusnya dipertikaikan.

Penglibatan terang-terangan beliau dalam beberapa siri gerakan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT) sebelum ini seperti penganjuran program di Pasar Seni beberapa ketika yang lalu membuktikan idealisme liberalisisme yang didokong oleh beliau.

Seksualiti Merdeka, meaning “Independent Sexuality”, is an annual festival consisting of talks, performances, screenings, workshops, and forums, to promote sexuality rights as a human right, to empower marginalized individuals and communities, and to create platforms for advocacy. Besides organizing the programmes of this annual festival, members of this coalition are also involved in letter writing campaigns, organizing regular film screenings and discussions, academic advocacy and training of trainers.

LGBT rights are not recognized in Malaysia. The nation retains its colonial era penal code criminalizing sodomy. Social attitudes towards the LGBT community are also shaped by Islam, the official religion in Malaysia.

                                                                                                                    (Source : Wikipedia)

Selain itu, pembabitan Marina Chin Abdullah yang merupakan ahli jawatankuasa Bersih 3.0 dalam Sisters in Islam (SIS) turut menguatkan kebimbangan kami mengenai kempen untuk menonjolkan kefahaman Islam liberal yang jelas bertentangan dengan ajaran Islam.

Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 208:
“Wahai orang-orang yang beriman, masuklah kalian kepada Islam secara kaffah (menyeluruh), dan janganlah kalian mengikuti jejak-jejak syaithan karena sesungguhnya syaithan adalah musuh besar bagi kalian.” 

Malah sehari sebelum Bersih 3.0, pihak LGBT ini akan mengadakan perhimpunan di hadapan Majlis Peguam (Bar Council) untuk menuntut hak mereka supaya dilayan sama rata dan diterima oleh semua lapisan masyarakat di Malaysia. Hal ini begitu membimbangkan kami terutama melihatkan kaitan Majlis Peguam dalam isu-isu yang melibatkan kepentingan umat Islam di Malaysia sebelum ini.

Isu permohonan murtad Azalina Bukhari (Lina Joy), tuntutan-tuntutan Interfaith Council (IFC) dan isu penyerbuan ke atas sebuah gereja di Damansara menampakkan sikap yang amat memusuhi kedudukan agama Islam sebagai agama rasmi Persekutuan yang telah termaktub dalam perlembagaan. Tidak mustahil untuk dikatakan bahawa golongan-golongan yang mendokong idea liberalisme ini disokong kuat oleh majlis peguam yang akan menggunakan Bersih 3.0 sebagai platform untuk mempromosikan pemikiran dan cara hidup mereka.


TIADA JALAN LAIN?

Jurucakap kepada Kumpulan Aktivis Mahasiswa Indipenden (KAMI), Chris Kooi menegaskan bahawa pihak Bersih telah menghantar pelbagai memorandum dan pelbagai cara lain sejak Bersih 1.0 pada tahun 2007 agar kerajaan melakukan reformasi dan perubahan untuk mewujudkan satu bentuk sistem pilihanraya yang bersih dan adil di Malaysia.

Secara peribadinya kami berpendapat bahawa perhimpunan seperti ini adalah langkah terakhir yang perlu diambil memandangkan risiko-risiko yang mungkin berlaku akibat himpunan ini. Provokasi daripada pihak-pihak yang memusuhi tuntutan-tuntutan Bersih ini dijangka akan menimbulkan suasana huru-hara dan tidak tenteram. Apatah lagi, lokasinya yang berada di tengah-tengah bandaraya Kuala Lumpur. Ini telah terbukti melalui provokasi dan serangan oleh puluhan samseng yang menyerang mahasiswa-mahasiswa yang berhimpun untuk membantah PTPTN baru-baru ini. Bayangkan apa yang akan berlaku dalam provokasi yang melibatkan puluhan ribu malahan mungkin ratusan ribu peserta?

Selain itu, gerakan beberapa NGO-NGO lain yang bercadang membuat perhimpunan membantah Bersih di lokasi yang berdekatan juga boleh menimbulkan suasana yang sangat-sangat memberi mudarat kepada banyak pihak. Apatah lagi kebanyakan peserta Bersih 3.0 dan peserta-peserta yang datang dari NGO yang membantah Bersih ini terdiri dari masyarakat Melayu Muslim.

Bayangkan aksi caci-mencaci, saling membaling objek dan perbuatan-perbuatan lain yang tidak sopan ini berlaku antara saudara seagama? Bukankah ini bertentangan dengan firman Allah dalam Surah Hujurat, ayat 10:
“Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.”

Kami melihat pertembungan seperti ini hanya akan mengeruhkan ukhuwah sesama umat Islam (majoriti berbangsa Melayu) yang seharusnya menjadi tunggak utama kepada survival Islam di Malaysia. Kami tidak mampu membayangkan betapa beruntungnya musuh-musuh Islam seperti golongan Liberal ini dalam mengambil kesempatan atas kegagalan kita sendiri dalam memahami dan menghayati konsep kesatuan dan kesepakatan.

Akhirnya, saya menyeru kepada semua pihak terutamanya mahasiswa/I Muslim agar kembali kepada al-Quran dan Sunnah yang menuntut kita supaya bersatu, menghindarkan permusuhan sesama saudara dan berhati-hati terhadap perancangan licik musuh-musuh Islam.

Kami juga berharap agar semua pihak dapat menyekat dan menghalang sebarang usaha mengiktiraf  hak golongan-golongan LGBT di Malaysia. Jika kita mampu mempromosikan Bersih, ayuh juga kita sama-sama mempromosikan usaha membanteras LGBT di Malaysia.

“Dan (Kami juga telah mengutus) Luth (kepada kaumnya). (Ingatlah ) tatkala dia berkata kepada mereka: “Mengapa kamu mengerjakan perbuatan faahisyah itu, yang belum pernah dikerjakan oleh seorang pun (di dunia ini) sebelummu?”.
Sesungguhnya kamu mendatangi lelaki untuk melampiaskan nafsumu (kepada mereka), bukan kepada wanita, malah kamu ini adalah kaum yang melampaui batas. Jawab kaumnya tidak lain hanya mengatakan: “Usirlah mereka (Luth dan para pengikutnya) dari kotamu ini, sesungguhnya mereka adalah orang-orang yang berpura-pura mensucikan diri .”
(Surah. Al A’raaf, 7: 80-82)

Adakah wajar kita masih mahu berdiam diri apabila kemungkaran berlaku hampir dengan kita?”
Wallahualam

Oleh,
Zulfahmi Bahrudin & Asyraf Farique
Hamba yang dhaif sekadar ingin memberi pendapat

Sumber :    
Islam Demokrasi dan Hak Asasi Manusia (Saari Sungib)
A World Without Islam (Graham Fuller)
Keikhlasan dan Persaudaraan (Badiuzzaman Said Nursi)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...