Sep 3, 2011

Lebaran ini.



                           
                                  


Bismillah..
Alhamdulillah, sulmalhamdulillah, sulmalhamdulillah..
Tahun ini Allah SWT masih memberi lagi ruang dan peluang untuk kita (Baca: Umat Islam) merayakan Hari Raya Aidilfitri.

“Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar walillah ilhamd!”

Momentum= Mass X Velocity

Momentum tidak akan terhasil tanpa kehadiran kedua-dua unsur ini. Momentum angin tidak wujud tanpa kehadiran udara (baca: mass). Begitu juga udara yang pegun (baca: tidak bergerak) tidak akan menghasilkan momentum. Sebelum saya menyambung teori asas fizik ini dengan analogi yang bukan-bukan, saya ingin kaitkan dahulu formula ini dengan semangat Ramadhan kita.

Ramadhan yang baru beberapa hari meninggalkan kita sepatutnya sudah kita rasai ketidakhadirannya. Semestinya selepas ini tiada lagi solat tarawih, tiada lagi semalam dah puasa, hari ini puasa, esok puasa, lusa puasa lagi. Tiada lagi bangun awal pagi untuk sahur atau duduk-duduk menunggu azan maghrib semata-mata untuk makan. Tiada lagi rancangan televisyen untuk membuat resepi-resepi biskut raya, tiada lagi pengumuman waktu berbuka pukul 5.30 petang di TV9 selepas tamat cerita Spongebob Squarepants.Tiada lagi semua ini. 

Saya telah katakan kenyataan ini kepada ramai-ramai manusia (Baca: lebih dari seorang). Sama ada kita sedar atau tidak sedar:

“Kita adalah mukmin yang lebih baik saat kita berada dalam bulan Ramadhan !”

Kenyataan ini tidak sesuka hati dikeluarkan.

Bandingkan sahaja berapa banyak helaian al-Quran yang kita telah baca dalam bulan Ramadhan berbanding pada hari ini? Semalam? Hari esok? Ada sahabat saya telah sampai ke juzuk 30 pada malam ke 20 Ramadhan. Ada yang khatam sampai 2 kali sebelum Ramadhan berakhir pun. Ini antara contohnya.

Bandingkan berapa hari kita bangun sebelum pukul 4 atau 5 pagi untuk memenuhi matlamat atau cita-cita untuk berqiamullial sekurang-kurangnya dua rakaat Solat Tahajjud setiap hari sepanjang bulan Ramadhan dengan waktu kita bangkit dari lena pada pagi ini?

Bandingkan akhlak kita semasa Ramadhan dengan selepas Ramadhan. Bandingkan pertuturan kita? Bandingkan ketundukkan pandangan kita? Bandingkan segala-galanya…

Manusia ini sifatnya ialah pelupa. Kadang-kadang dia lupa betapa semangatnya dia dalam bulan Ramadhan yang telah dilaluinya dengan penuh kecemerlangan. Dia lupa betapa baiknya dia dalam bulan Ramadhan yang lalu. Dia lupa betapa cemerlangnya penyusunan program-program tajmi’ pada Ramadhan lepas.Dia lupa betapa efektifnya dia menyiapkan assignments, homework, lab report dalam kesibukan dirinya beramal dalam bulan Ramadhan.

Saya sendiri banyak kali terlupa. Ramadhan sudahlah tidak secemerlang mana. Saya rasa Ramadhan tahun ini saya rugi lagi. Banyak lagi insan-insan hebat yang saya lihat dan yang saya dengari.

Alhamdulillah ucapan-ucapan raya saya dibalas dengan peringatan supaya mengekalkan momentum Ramadhan ini oleh sahabat-sahabat. Malah ada yang mengingatkan untuk sentiasa menggengam erat roh Ramadhan itu.

Jasad dan jiwa (Baca: mass) sudah ada. Yang tinggal ialah kehendak (Baca: velocity) kerana Momentum= mass x velocity ! 


Coret-Mencoret

Pelbagai cerita suka, ceria, gembira yang berlaku sepanjang raya tahun ini. Sedih ada juga, tapi kenapa entah tidak terasa sangat. Semestinya Raya tahun ini tidak dapat lari dari rendang, lemang, ketupat, lodeh, ayam masak kicap, masak merah, kuih-muih yang hanya dapat dilihat pada musim-musim raya dan semestinya duit raya. Ya! Saya masih tidak dapat lari daripada duit raya. Cuma bezanya, sekarang sudah tidak lagi kisah dapat berapa jumlahnya. Dapat Alhamdulillah, tak dapat pun Alhamdulillah juga. Tetapi dahulu kalau ada mak cik atau pakcik-pakcik yang terlepas memberi duit raya, mulalah kerisauan.

“Adeyh.. Kurang la duit raya aku tahun ni.”

Tahun ini juga ada sedikit berbeza. Buat pertama kalinya ayah saya memakai sepasang baju raya yang lengkap (Baca: Dengan samping dan teluk belanga) kerana saya tidak pernah melihatnya begitu kecuali semasa walimahnya 21 tahun yang lalu. Rancangan untuk mengunjungi saudara-mara jauh di ceruk pedalaman negeri Tok Gajah (Baca: Pahang) juga tidak kesampaian. Banyak halangannya.

Raya tahun ini juga telah meyaksikan saya membuat sedikit perubahan dengan cuba mengenali saudara-mara sebelah ayah dan umi yang sangat-sangat ramai dengan lebih dekat lagi. Saya selalu berasa rendah diri kerana ramai anak kepada sepupu-sepupu saya lebih berumur dan matang berbanding saya.

 Jika tahun-tahun lepas sekadar senyum dan ucap selamat hari raya kepada mereka, tahun ini saya duduk di tengah-tengah, sebelah-meyebelah dengan muka selamba mengharapkan akan ada yang menyapa. Bertanya sedang belajar di mana? Belajar apa? Tahun berapa belajar? Berapa tahun lagi habis? Biotek tu apa kerjanya? Bila nak berkeluarga? Ikut program apa sekarang.. Opss.. Selepas itu bolehlah menyoal balas kembali mereka-mereka yang bertanya itu.

Jika hendak mengharapkan saya yang memulakan, memang terkejutlah mereka (Baca: Pemalu).. hehe…
Semestinya kenangan singkat raya tahun akan saya ingati, simpan dalam kotak memori. Biar nanti saya akan senyum sorang-sorang bila mengenangkan kembali saat-saat ini jika sedang ketensionan membuat assignments yang entah bila hendak habis.

Lebaran ini

Saya dengan ini, dengan sepenuh kerendahan hati memohon secebis kemaafan jika ada yang terasa hati dengan kasarnya bahasa, ketidakpandaian menyusun kata-kata, senyum yang tidak terpapar (Sedang belajar senyum) atau apa-apa sahaja perbuatan atau tindakan yang mengundang ketidakselesaan atau ketidaksenangan. Sesungguhnya saya manusia yang sering berbuat khilaf, perasan dan sering tidak sedar kesilapan dirinya. J

Dan juga orang-orang yang menjauhi dosa-dosa besar dan perbuatan keji, dan apabila mereka marah segera memberi maaf.
                                                                                                                                (As-Syura: 37)

Tetapi barang siapa yang bersabar dan memaafkan, sesungguhnya yang demikian itu termasuk perbuatan yang mulia.
                                                                                                                                 (As-Syura:43)




Minal aidil wal faizin.
Wa kullu’ am wa antum bil khair.

                                                                            ~~~

oh ya.. sebelum terlupa dibawah ini ialah short movie terbaik untuk syawal tahun ini.. 




1.Takziah untuk keluarga Saudara Allahyarham Noramfaisul. Ibunya mendoakan anaknya syahid.
2.Tahniah untuk akh Danial atas lakonan cemerlang beliau. Walaupun baru beberapa minggu menjejak kaki di bumi Mesir.



2 September,
Batu Pahat,
Johor.


No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...