Dec 31, 2012

Bersih



 Umar bin Alkhatthab r.a. berkata, “Saya telah mendengar Rasulullah SAW bersabda, “Sesungguhnya sesuatu amal itu bergantung kepada niat. Penilaian Allah bagi setiap orang, ialah apa yang dia niatkan. Maka sesiapa berhijrah (dari daerah kafir ke daerah Islam) semata-mata kerana ta’at kepada Allah SWT dan Rasulullah SAW, maka hijrah itu diterima oleh Allah SWT dan Rasulullah SAW. Sebaliknya sesiapa berhijrah kerana keuntungan dunia yang dikejarnya, atau kerana perempuan yang akan dikahwini, maka hijrahnya bergantung kepada apa yang dia niatkan ketika berhijrah ke sesuatu tempat itu.”
(Riwayat Bukhari& Muslim)

Bismillah. Hadith yang saya bawa di atas merupakan sebuah hadith yang sepatutnya sudah biasa kita dengar dan kita baca. Tidak kiralah sama ada kita orang dakwah atau bukan orang dakwah, hadith ini menjadi satu hadith yang sangat popular. Malah, Imam an-Nawawi sendiri menyusun hadith ini di tempat yang pertama dalam syarah hadith 40 beliau.

Saya tidak bermaksud untuk menerangkan syarahan hadith ini, tetapi lebih kepada satu perkongsian dalam keghairahan dan keazaman kita terjun dalam medan amal dakwah dan tarbiyyah.

Hijrah
Seorang akh yang memahami bahawa hidupnya sehari-hari di dunia ini adalah hujah untuk kebahagiaannya yang sebenar di negeri akhirat kelak akan berusaha sedaya upaya untuk mempersiapkan dirinya untuk diadili oleh Allah SWT.

Hadith ini bagaikan menusuk tepat kepada seorang lelaki yang bergelar muslim.

Kamu hijrah kerana Allah dan Rasul, Kamu dapat Allah dan Rasul. Tetapi, jika kamu hijrah kerana Ummu Qais, kamu dapat Ummu Qais

Falsafah ini sangat mudah di fahami. Cabaran dan tarikan terhebat kepada seorang lelaki adalah wanita. Hebat atau tidak lelaki itu tidak akan mengubah hakikat ini. Ironinya, niat lelaki ini bukanlah satu niat yang tidak baik. Lelaki ini mahu ikut berhijrah kerana mahu berkahwin dengan Ummu Qais.

Berkahwin?
Hukum asal perkahwinan adalah harus. Pada keadaan lain boleh jadi sunnah, wajib dan kadangKala di sebut berkahwin kepada seorang akh yang masih bujang, tentu akh itu akan tersipu-sipu atau kadangkala tidak memberikan sebarang reaksi kerana sudah selalu sangat diajukan persoalan yang sama. Ini bukan isu utamanya.

Isunya ialah niat untuk bernikah itu hadir pada saat sesuatu yang lebih besar berlaku. Hijrah untuk Allah dan Rasulnya.

“Orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad di jalan Allah dengan harta benda dan diri mereka adalah lebih tinggi darjatnya di sisi Allah; dan itulah orang-orang yang mendapat kemenangan.

 (At-Taubah, 9:20)

Lelaki dalam hadith ini seharusnya berpeluang untuk mendapat kedudukan dan darjat yang mulia di sisi Allah dan Rasulullah SAW kerana bersama-sama dalam rombongan hijrah itu. Malah, beliau turut ditawarkan ganjaran pahala yang hanya Allah SWT tahu nilaiannya.

Tetapi mungkin kerana dibutakan oleh tarikan seorang wanita yang mahu dijadikannya sebagai isteri, lelaki ini memilih untuk merendahkan jiwanya. Memilih untuk ikut berhijrah dalam rombongan yang mulia di sisi Allah dan Rasul  tetapi hanya sekadar untuk memenuhi hasrat peribadinya.

Saya tidak mengatakan perkahwinan itu sebuah perkara yang kecil, tetapi lelaki ini mendapat satu kerugian yang cukup besar kerana tidak menyedari perkara yang telah dia lepaskan.

Soalan

Ikhwah, cukuplah sekadar ringkas saya berkongsi pandangan terhadap hadith ini berdasarkan rujukan saya terhadap syarahan hadith Arbain imam Nawawi.

Satu persoalan yang seharusnya kita sama-sama tanyakan pada diri.

Mengapakah aku memilih untuk bersama-sama dalam dakwah dan tarbiyyah?

Soalan ini masih sangat relevan walaupun kita mungkin sudah bertahun-tahun berintima’ dalam amal jamaie.

Mungkinkah niat asal kita sekadar untuk mengikut arus? Kerana orang lain ada usrah, maka kita pun join supaya tidak berasa terpinggir.

Atau mungkinkah kerana kita mempunyai hasrat untuk menonjolkan keupayaan diri? Supaya orang lain kagum dengan keupayaan kita dalam memimpin manusia, berucap di khalayak atau lantang bersuara di demonstrasi atau perkumpulan-perkumpulan dalam soliditari terhadap isu-isu semasa umat Islam.

Atau kita terpana dengan akhlak dan penampilan muslimah yang berintima’ dalam dakwah dan 
tarbiyyah? Supaya kita dilihat sekufu? Atau mengulangi kisah pemuda yang ikut berhijrah dan Ummi Qais dalam hadith di atas?

Ini adalah antara persoalan-persoalan yang akan berlegar-legar sepanjang jalan dakwah ini.

Bersih

Oleh itu, marilah bersama-sama kita bersihkan niat dan agenda kita. Nasib umat Islam yang diletakkan dalam keadaan yang sangat terhina pada masa sekarang tidak akan mampu di ubah dengan niat dan agenda-agenda yang kecil, apatah lagi agenda yang tidak bersih.

Diri kita tidak akan mendapat manfaat yang sebenarnya jika kita gagal untuk membersihkan hati dari hasrat-hasrat yang tidak bersih. Kata orang, alang-alang dah jadi muslim, biarlah jejak sampai ke syurga.

Muhasabah dan bersihkan niat kita hatta dalam sekecil-kecil persoalan sekalipun.Moga Allah redha.




[Fahmi]: Ini adalah post saya yang ke-100 (Setelah usia blog ini sudah 3 1/2 Tahun).. hooray, hooray. Penat mencari idea yang paling istimewa. Ini sahajalah yang termampu setelah berbulan-bulan tidak menulis.




No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...