Tanpa disedari atau kita buat-buat tak sedar, sebenarnya telah berlaku pertembungan yang hebat antara kedua-dua istilah ini. Mengapa saya mengatakan sedemikian? Di bawah ini saya sertakan beberapa contoh pertembungan yang berlaku sama ada kita sedari atau tidak.
Kes 1
“Dia ni rajin post pasal dakwahlah, keinsafanlah.. Pasal isu Palestin lah.. Tapi tengoklah, kat status dia yang like, yang komen, semua perempuan.. Dah tu boleh layan pulak tu.. siap buat smiley, huhu, hehe lagi” Komen seorang teman yang tidak berpuas hati dengan kawan nya yang sering mengepost video dan blog mengenai Islam di sebuah laman sembang.
“Alah, cakap je jaga perhubungan, tak boleh cakap dengan perempuan la.. kena jaga pandangan la.. dia pun sama jugak.. Lagi teruk kot! Aku tengok dia relax je YM dengan perempuan. Apa tu dia orang panggil? Ukhti..akhawat?. Aku nak tengok tak kasik.. Entah apa-apa ntah yang dia sembangkan dengan perempuan tu? Tiap-tiap malam pulak tu sembang, tu jaga perhubungan ke?” Sindir seorang teman yang tidak berpuas hati dengan rakan alimnya yang sering berhubungan secara dengan wanita yang bukan muhrim.
Realitinya?
Mengapa komen ini diluahkan oleh teman kita?
Siapakah yang bersalah? Adakah perbuatan orang yang sering mengPost mengenai video, blog, status mengenai Islam, mengenai dakwah itu yang salah?
Atau adakah perbuatan seseorang yang sering mengingatkan kepada kawan-kawan nya mengenai adab-adab Ikhtilat (Hubungan antara lelaki dan perempuan ajnabi) yang bersalah?
Atau sebenarnya yang bersalah itu ialah perbuatan melampau-lampau berinteraksi dalam laman sembang dan berinteraksi di laman bual secara berdua-duaan tanpa asas yang kukuh?
Seringkali apa yang cuba di sampaikan oleh sahabat kita itu tadi tidak mencapai matlamat, sasaran kerana masyarakat lebih suka menghukum berdasarkan persepsi, berdasarkan apa yang mereka nampak dan lihat berbanding menghukum berdasarkan realiti sebenar.
Memanglah perbuatan melanggar batasan ikhtilat itu salah. Malah ini telah disebutkan di dalam salah satu firman Allah dalam surah An-Nur (30-31) mengenai perintah menundukkan pandangan pada lelaki dan juga wanita. Tetapi mengapa dakwah dan setiap kebenaran yang disampaikan oleh sahabat kita itu sama ada melalui tulisan, kata-kata dan perbuatan itu yang dihukum? Salah kah untuk sahabat kita mengingatkan mengenai isu Palestin, mengenai kewajipan solat, mengenai akhlak mengenai ketaatan kepada Allah dan RasulNya? Dia sedang bercakap mengenai kebenaran, dan mengapa kita harus menolaknya?
Berfikirlah dan bertindaklah mengikut rasional dan pekalah pada realiti…
Kes 2
“Ish, dia ni dulu bukan sekolah agama ke? Pakai tudung labuh pulak tu.. Tapi, kenapa aku tengok status relationship dengan lelaki ni? Siap ada gambar berdua lagi. Ustazah dengan Ustaz diaorang tak ajar ke yang couple tu haram?” Luah seorang ukht yang baru diperkenalkan pada dunia dakwah. Dia berasa amat marah dan kecewa kerana para pelajar lulusan sekolah agama yang pada sangkaan nya harus keluar menjadi seorang yang baik akhlaknya, berkopiah, bertudung labuh, boleh bercakap mengenai Islam telah melakukan perkara yang seratus peratus berlainan dari yang sepatutnya, iaitu bercouple.
Realitinya
Demi jiwa serta penyempurnaanya (ciptaan) nya. Maka dia mengilhamkan kepadanya (jalan) kejahatan dan ketakwaanya.
(As-Syams: 7-8)
Bukankah pelajar lulusan sekolah agama itu manusia biasa juga?
Yang padanya ada iman yang kadang-kadang boleh meningkat dan kadang kala boleh menurun. Jika iman kita ini statik sahaja, maka tidak akan kedengaranlah Ustaz, Ustazah ditangkap berkhalwat, bayi ditemui dibuang di sekolah menengah Agama dan seorang bapa ditangkap kerana menodai anak kandungnya sendiri walaupun diketahui mempunyai keperibadian yang baik.
Begitulah yang sebenarnya berlaku pada sahabat kita. Mereka sebenarnya sedang menghadapi fasa ‘kejatuhan’ Iman. Dan tanggungjawab kita bukanlah untuk mencela, mengkeji, memboikot, bermasam muka, menulis sindiran di status ‘facebook’ kita sebaliknya dekatilah dan bantulah mereka untuk sedar kembali kesilapan yang mereka lakukan. Saya tertarik pada salah satu entri sahabat saya.. “Up and down of my Iman!”.
Malah kadang-kala yang mencela perbuatan teman mereka itu sering kali melanggar batasan ikhtilat yang kadang-kala pasangan yang berpacaran itu jauh lebih terjaga batasannya.
Sekali lagi persepsi bertembung dengan realiti!
Kes 3
Seorang pakcik yang memegang jawatan ‘muazzin’ di masjid menegur seorang pemuda kerana tidak berkopiah atau bersongkok dan hanya berseluar jeans dan berbaju-t sahaja ketika menunaikan solat Maghrib pada malam itu. Dia telah ditegur dengan alasan tidak beradab ketika masuk ke rumah Allah. Selepas peristiwa pada malam itu, pemuda yang telah ditegur itu jarang-jarang lagi kelihatan di masjid. Kadang-kadang dia hanya boleh ditemui ketika solat Fardhu Jumaat sahaja. Kelihatannya dia cuba untuk keluar dari masjid seawal mungkin dan cuba untuk mengelak dari bertembung dengan pakcik ‘muazzin’ yang menegurnya tempoh hari.
Realitinya
Apakah sebenarnya kesalahan pemuda tersebut? Ya, memang diakui bahawa kita dituntut untuk berpakaian kemas terutama ketika menghadap Allah. Tetapi, bukankah Islam itu diturunkan untuk memudahkan urusan manusia? Bayangkan satu keadaan di mana seorang pemuda yang baru tamat latihan silat menyedari yang waktu maghrib telah tiba dan mahu menunaikan kewajipan itu seawal mungkin. Tanpa menyalin baju yang terpalit sedikit lumpur dan tanah, pemuda it terus ke masjid atau surau untuk bersolat jamaah. Kemudian, tanpa dipinta dia terus dimarahi kerana pak cik tersebut dipengaruhi persepsi bahawa untuk ke masjid atau surau mestilah bersongkok atau berkopiah sekurang-kurangnya..
Sedangkan….
Pada hakikatnya, pemuda itu sedang melakukan perkara yang betul. Kerana Solat Fardhu berjemaah itu wajib sedangkan berkopiah atau bersongkok itu tidak wajib. Kalaulah solat Fardhu Jamaah itu tidak wajib, masa kan Rasulullah yang memiliki akhlak yang terpuji mahu membakar rumah sahabat yang tidak menghadiri solat fardhu jamaah?
Lebih aula’ (utama) bagi pak cik tersebut untuk memanggil orang yang berpakaian cukup kemas dengan lengkap kopiah atau songkoknya tetapi hanya solat sendirian di rumah ke masjid atau surau berbanding memarahi pemuda yang bersemangat ke masjid yang pada takrifannya tidak beradab dari segi pakaian.
Kes 4
Mungkin isu ini agak sensitif, tetapi saya tetap mahu berkongsi juga kerana merasakan perlunya perbincangan yang panjang mengenai perkara ini.
Seorang muslimat mengelak untuk masuk ke dalam sebuah lif yang telah terbuka kerana terlihat seorang muslimin yang dikenalinya di dalam lif tersebut. Alasannya, kerana dia masih dikurniakan sifat malu terhadap lelaki ajnabi . Alhamdulillah, ukht tersebut sanggup untuk mengorbankan sedikit masanya atau mungkin sedikit tenaganya untuk menaiki tangga dari berada rapat dengan muslimin yang ajnabi baginya.
Tetapi…
Pada kisah yang sama, tetapi yang berada di dalam lif tersebut bukanlah seorang lelaki muslim tetapi seorang lelaki non-muslim. Saya tidak mahu meneruskan cerita pada situasi ini, tetapi saya mahu pembaca sendiri yang membuat andaian masing-masing mengenai respon atau tindakan muslimat tersebut.. Adakah dia masuk atau tidak ke dalam lif tersebut?
Baiklah..
Saya sambung pada situasi seterusnya. Pada pagi itu saya ada urusan penting yang memerlukan komputer. Puas saya mencari, tetapi hampir semua komputer yang disediakan untuk pelajar sedang digunakan semuanya. Sehinggalah saya menemui sebuah komputer yang tidak digunakan. Saya melangkah ke sana dengan perasaan yang agak lega sehinggalah saya terlihat seorang muslimat sedang duduk betul-betul di hadapan komputer kosong tersebut. Dan jika saya duduk pada komputer yang saya tuju itu, saya tidak akan dapat mengelak daripada memandang ke arah muslimat tersebut.
Dan,saya memilih untuk mengalah dan menunggu komputer yang lain. Dengan alasan sama yang digunakan oleh ukht lif tadi.
Persoalannya…
Bagaimana kalau yang duduk di hadapan komputer tersebut bukan muslimat? Tetapi seorang wanita non-muslim?
Sekali lagi saya tidak mahu menjawab kerana pembaca semua tahu apa respon saya selepas itu. Benar?
Saya tutup kes ke-4 ini dengan firman Allah swt:
“Katakanlah kepada orang laki-laki yang beriman: "Hendaklah mereka menahan pandanganya, dan memelihara kemaluannya; yang demikian itu adalah lebih Suci bagi mereka, Sesungguhnya Allah Maha mengetahui apa yang mereka perbuat".
Katakanlah kepada wanita yang beriman: "Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak dari padanya. dan hendaklah mereka menutupkan kain kudung kedadanya, dan janganlah menampakkan perhiasannya kecuali kepada suami mereka, atau ayah mereka, atau ayah suami mereka, atau putera-putera mereka, atau putera-putera suami mereka, atau Saudara-saudara laki-laki mereka, atau putera-putera saudara lelaki mereka, atau putera-putera saudara perempuan mereka, atau wanita-wanita islam, atau budak- budak yang mereka miliki, atau pelayan-pelayan laki-laki yang tidak mempunyai keinginan (terhadap wanita) atau anak-anak yang belum mengerti tentang aurat wanita. dan janganlah mereka memukulkan kakinyua agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan. dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, Hai orang-orang yang beriman supaya kamu beruntung”
(An-Nur: 30-31)
* Ayat ini Allah tujukan kepada lelaki-lelaki dan perempuan yang beriman. Maka, seharusnya mereka lah yang lebih tahu perihal menundukkan pandangan dan penutupan aurat berbanding mereka-mereka yang tidak beriman.
Penat Menulis
Saya langsung tiada niat untuk menujukan tulisan ini kepada sesiapa. Maaf bagi yang tersinggung atau terasa hati. Saksikanlah bahawa perbuatan menjatuhkan maruah saudaranya itu adalah salah satu akhlak yang tercela yang tidak patut ada pada diri seorang muslim. Ketahuilah sesungguhnya saya lebih suka untuk menujukan tulisan ini kepada diri saya sendiri kerana semua persitiwa ini terjadi kepada saya sama ada saya menjadi saksi masyarakat itu atau menjadi pelaku utamanya. Jazakumullah khair.
2 comments:
tarbiyyah itu proses yang amat panjang..proses membaiki diri, belajar menjadi baik dari kurang baik, proses dari baik kepada yang lebih baik..
ia proses yang amat panjang..dan perubahan yang dilakukan bukanlah satu perubahan yang drastik..
sama sama kita ingat, tarbiyyah dan dakwah tetap berjalan dengan atau tanpa kita. insyaAllah, kalau itu jalan yang kita pilih..
cuma nak tye situasi yg akhir itu, jadi apa tindakan rasional yg sepatutnya kita lakukan sbg muslimin?
Post a Comment