Nov 3, 2010

Kita Seharusnya Cemerlang








Umat islam seharusnya menjadi umat yang cemerlang. Begitu juga dengan kita. Sebagai seorang pelajar muslim kita wajib untuk cemerlang. Bukan sunnah, bukan harus tetapi kita wajib dan perlu untuk cemerlang.

Di sini saya ingin menggariskan sebab-sebab kita harus menjadi cemerlang:

1. Allah swt bersama kita. Itu janji yang pasti! Allah tidak berada di belakang golongan tidak beriman untuk membantu mereka dalam berjaya. Allah bersama kita!

     Adapun orang yang memberikan (hartanya di jalan ALLAH) dan bertaqwa, dan membenarkan adanya pahala yang terbaik (syurga), maka Kami kelak akan menyediakan baginya jalan yang mudah.” (Surah al-Layl: 5-7)

2. Kita ada doa yang boleh dijadikan sebagai senjata yang paling ampuh dalam menghadapi apa jua cabaran.


3. Kita ada al-Quran yang boleh dijadikan sebagai petunjuk, punca ketenangan dan panduan untuk menjadi insan yang berjaya.Lihat bagaimana insan seperti Harun Yahya, Ahmad Deedat dan saudari Nik Nur Madihah menjadikan al-Quran sebagai panduan, pendorong dan inspirasi untuk mencapai kejayaan.
Itulah dusturana (Panduan kita).
  

                                             




4. Kerana untuk menjadi cemerlang itu merupakan amanah.

    Saya sendiri merupakan seorang pelajar tajaan sebuah badan kerajaan yang pastinya mahukan saya menunjukkan pencapaian yang cemerlang dalam setiap peperiksaan yang saya hadapi. Dan kerana saya telah berjanji untuk mencapai keputusan cemerlang, maka saya wajib untuk melaksanakannya. Kerana itu adalah satu tanggungjawab yang mana bila gagal dilaksanakan, maka saya boleh dikira sebagai berdosa.
  
5. Umat Islam merupakan 'khair ummah'.
   Itu juga merupakan janji Allah.

    .“Kamu adalah umat terunggul (khayra ummah) yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang ma‘ruf dan mencegah daripada yang munkar dan kamu beriman kepada Allah” 
(Ali Imran: 110)
   
Jadi sebagai 'khair ummah' kita seharusnya cemerlang dari semua aspek kehidupan. Apatah lagi penguasaan dalam bidang ilmu. Mana mungkin seorang pemain bola sepak dianggap terbaik jika dia tidak mampu menggelecek bola dengan baik walaupun mempunyai kehebatan dalam menjaringkan gol.


6. Kecemerlangan dalam pelajaran merupakan aset penting dalam dakwah.

    Dakwah itu juga perlu dan wajib. Mungkin orang menganggap untuk menyampaikan amar makruf nahi mungkar, seseorang itu haruslah melengkapkan dirinya dengan ilmu agama sahaja. Mana mungkin kita akan thiqah' (percaya) kepada seseorang yang mengajak kita kepada kebaikan jika tidak lulus dalam setiap peperikasaan yang diambilnya. Saya tidak bermaksud untuk merendahkan kedudukan golongan seperti ini kerana Rasulullah SAW itu sendiri merupakan seorang ummi ( Tidak pandai membaca dan menulis) tetapi kecemerlangan dalam pelajaran itu merupakan satu 'plus value' atau nilai tambah dalam perjuangan ini. 
Lihat sahajalah bagaimana golongan-golongan yang cemerlang di kalangan kita sering menjadi perhatian pelajar-pelajar lain dan sering dijadikan rujukan dalam pelajaran. Alangkah bagusnya jika yang menjadi perhatian itu seseorang yang cemerlang juga akhlaknya, yang tinggi juga cita-citanya untuk Islam,


KENAPA SAYA MENULIS INI?

Kita tidak berada dalam satu keadaan yang mana pemimpin kita ikhlas memperjuangkan Islam. Perhatikan bagaimana tindakan negara-negara Islam apabila bumi suci Palestin diinjak-injak, dizalimi dan ditindas oleh rejim Zionis.

Kita juga tidak berada dalam kalangan mahasiswa yang sibuk memikirkan bagaimana untuk menyumbangkan sesuatu untuk agama Allah ini. Lihat sahajalah bagaimana keruntuhan akhlak dan moral mahasiswa Islam kita sejak akhir-akhir ini.Dan lihat sahajalah bagaimana bertambahnya bilangan anak-anak luar nikah yang dilahirkan oleh ibu yang pada kad pengenalannya tertulis perkataan ISLAM.

Bahkan yang lebih malang lagi gerakan-gerakan Islam sudah kehilangan semangat untuk menjadi cemerlang. Mereka berpuas hati hanya menjadi penumpang dan pengikut gerakan-gerakan lain yang semestinya satu kerugian untuk umat Islam. Mereka sudah kehilangan agenda atau cita-cita yang besar untuk Islam dan kehilangan roh perjuangan mereka, iaitu ISLAM. Mereka terus bergerak tanpa agenda dan jadilah mereka sebuah gerakan yang melaksanakan agenda pihak-pihak lain.

Kita ada segalanya... Maka seharusnya kita CEMERLANG!
betul tidak ikhwah?






No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...