Oct 19, 2011

Ke mana kita?


Dalam perjalanan ke tempat kerja pagi Isnin yang lepas, sebuah stesen radio berbahasa Inggeris tiba-tiba menarik minat saya mendengar kerana mereka membincangkan isu buku yang baru diterbitkan oleh Kelab Taat Suami (Obedient Wives Club) bertajuk Seks Islam, perangi Yahudi untuk kembalikan seks Islam kepada dunia (Islamic Sex, fighting against Jews to return Islamic sex to the world). Juruhebahnya bukan beragama Islam. Saya sempat mendengar dua pemanggil memberikan pandangan, seorang bernada serius manakala seorang lagi berjenaka. Jenaka tersebut disambut para juruhebah dengan gelak ketawa.
Jenaka dan gelak ketawa bersambut-sambutan tentang buku yang diulang-ulang oleh juruhebahnya “Sex in Islam”, menjengkelkan saya. Walaupun penulis buku tersebut dari kelompok yang mencipta kontroversi ekoran pegangan mereka, saya terasa kesempatan ini diambil oleh orang lain untuk membuka ruang menyelitkan gurauan dan momokan dan lambat laun gurauan terhadap Islam akan menjadi sesuatu yang lazim didengari. Barangkali juruhebah itu merasakan, oleh kerana kelompok itu mendapat tentangan umat Islam lain secara umumnya, maka poligami dan Islam boleh disebut-sebut dalam gurauan. Hati saya terasa pedih. Badan terasa panas. Darah menyirap ke muka. Saya amat berharap ini adalah manifestasi sensitiviti saya. Saya amat berharap agar Allah SWT mengekalkan deria saya terhadap sebarang usaha penghinaan terhadap agamaNya. Saya tahu, sensitiviti inilah yang makin terhakis dari masyarakat Islam kita.
Perlukah menunggu bukit yang nyata?
Maka dengan sebab itu, Himpunan Sejuta Umat (HIMPUN) yang dijadualkan pada 22hb Oktober ini, adalah satu seruan dan manifestasi sensitiviti kita tehadap perkara-perkara yang mencabul kehormatan agama Islam. Kalau kita amati, usaha merendahkan kedaulatan Islam bermula dengan menghilangkan sensitiviti umat terhadap agamaNya. Sepuluh atau dua puluh tahun yang lalu, perkataan “murtad” sudah cukup untuk meremangkan bulu roma. Tidak timbul persoalan “berapa banyak?”, “cukupkah bukti?”, “agenda politik” dan lain-lain, untuk sewenang-wenangnya menghilangkan kegusaran itu.  Kehadiran seseorang Muslim ke premis agama lain menggerunkan sesiapa sahaja yang mengasihi dan memasang impian agar anak-anaknya, saudara-saudaranya, sahabat handainya, rakan sekerjanya dihindari dari terjebak dalam situasi yang paling mencabar maruah agama. Sensitiviti kita begitu tebal lantaran para ibu dan ayah teringat-ingat doa Nabi Ibrahim a.s:

“Dan (ingatlah), ketika Ibrahim berkata: Ya Tuhanku, jadikanlah negeri ini (Mekah), negeri yang aman, dan jauhkanlah aku beserta anak cucuku daripada menyembah berhala-berhala. Ya Tuhan-ku, sesungguhnya berhala-berhala itu telah menyesatkan kebanyakan daripada manusia, maka barang siapa yang mengikutiku, maka sesungguhnya orang itu termasuk golonganku, dan barang siapa yang mendurhakai aku, maka sesungguhnya Engkau, Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. Ya Tuhan kami, sesungguhnya aku telah menempatkan sebahagian keturunanku di lembah yang tidak mempunyai tanam-tanaman di dekat rumah Engkau (Baitullah) yang dihormati, ya Tuhan kami (yang demikian itu) agar mereka mendirikan salat, maka jadikanlah hati sebagian manusia cenderung kepada mereka dan beri rezekilah mereka dari buah-buahan, mudah-mudahan mereka bersyukur. Ya Tuhan kami, sesungguhnya Engkau mengetahui apa yang kami sembunyikan dan apa yang kami lahirkan; dan tidak ada sesuatu pun yang tersembunyi bagi Allah, baik yang ada di bumi maupun yang ada di langit. Segala puji bagi Allah yang telah menganugerahkan kepadaku di hari tua(ku) Ismail dan Ishak. Sesungguhnya Tuhanku, benar-benar Maha Mendengar (memperkenankan) doa. Ya Tuhanku, jadikanlah aku dan anak cucuku orang-orang yang tetap mendirikan salat, ya Tuhan kami, perkenankanlah doaku. Ya Tuhan kami, beri ampunlah aku dan kedua ibu bapakku dan sekalian orang-orang mukmin pada hari terjadinya hisab (hari kiamat).” (Ibrahim [14]: 35 – 41)
…sambil mengusap-usap ubun-ubun anak mereka.
Isu pemurtadan TIADA kaitan dengan politik kepartian
Dalam keadaan masyarakat yang sudah terhakis sensitivitinya, muda-mudi yang tidak keruan akhlaknya, fahaman pluralisme dan kesatuan agama-agama yang bermaharajalela, masih lagi pihak-pihak tertentu, atas kepentingan politik dan demi mengaut satu dua undi, rela berada di dalam ‘the state of denial”. Episod Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menemukan orang-orang Islam di majlis makan malam formal di dalam premis Damansara Utama Methodist Church (DUMC) ditafsirkan sebagai kebiadaban Penguatkuasa Islam. Soal adanya orang-orang Islam berada disitu diberi penekanan kedua, kalau ada sekalipun, diperenggan-perenggan terakhir sesebuah laporan. Soal imej Islam menjadi lebih utama dari hakikat adanya usaha mengajak umat Islam mendalami ajaran agama lain yang menyalahi Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan di Kalangan Orang Islam) 1988 negeri Selangor.
Ajakan-ajakan ini semakin lama semakin terbuka, mengambil kesempatan dari golongan Islam dari kedua-dua aliran politik yang bersengketa dan dari mereka yang terpaut dengan pluralisme. Hujah musuh-musuh Islam “there is no proof of proselytisation”, “till today there have been no solid grounds to prefer such an accusation” dijadikan sandaran kuat bahawa tidak ada dakyah-dakyah dianjurkan ke atas umat Islam. Hanya umat Islam yang mempunyai kepentingan tertentu sahaja yang sanggup menunggu sehingga keluarnya saudaranya dari agama Islam yang mulia secara total, barulah ingin dia menguitkan jarinya. Hanya umat Islam yang mempunyai ‘inferiority complex’ yang berselindung disebalik terma-terma gah seperti ‘renaissance’ dan liberal yang berhajat merubah umat mengikut disiplin diluar  dari tatacara syariah dan meminjam tanpa segan silu ajaran-ajaran asing.
Padahal, isu agresifnya pendekatan Kristian Evangelist bebas ini telah diungkit-ungkit juga oleh mazhab utama Kristian di Malaysia iaitu Kristian Protestant dan Kristian Katolik. Laporan Malaysia Insider (http://www.themalaysianinsider.com/mobile/malaysia/article/split-among-christians-over-moves-to-convert-muslims-says-senior-leader/) menyebut bahawa ada penganut  mazhab utama Kristian dan juga penganut agama lain yang merungut dengan keagresifan dan keterbukaan pihak gereja Kristian Evangelist bebas ini, dalam cubaan mempengaruhi mereka. Menurut statistik dari pihak Vatican, 9.2 % dari 28.3 juta rakyat Malaysia adalah penganut Kristian. Dari jumlah ini, 3 % adalah dari Katolik, dan 6 % penganut Protestant yang merangkumi Anglicans, Lutherans dan Presbyterians. Selebihnya ialah kumpulan minority Kristian Evangelist bebas, dimana DUMC adalah salah satu daripadanya. Ini adalah bukti bahawa dakyah Kristianisasi secara terbuka telah berlaku.
Maka timbul pula persoalan bahawa jika orang bukan Islam bersedia di-Islamkan, kenapakah kita tidak bersifat terbuka (bahkan ada yang mengesyorkan, keterbukaan ini demi menjaga imej Islam)?
Maka disinilah kita perlu memahami tabiat dan ajaran agama Islam. Agama Islam mempunyai garis panduan berhubung Riddah (permurtadan), sekaligus menggariskan undang-undang tentang hukum murtad. Kita diajar untuk mengembangkan ajaran Islam (berdakwah) dan juga memelihara umatnya dari gejala murtad. Bab riddah atau murtad dihurai dengan panjang lebar. Yang berbeza hanyalah dari sudut hukumannya, adakah penalti hukum bunuh atau berbentuk hukuman takzir yang lain. Kepentingan membendung gejala murtad dari berleluasa tetap diberi penekanan dalam semua kitab-kitab tafsir dan hadis.
Rasulullah SAW pernah menegur Umar Al-Khattab lantaran membelek kitab Taurat.
Sahabat yang mulia bernama Jabir bin Abdillah radhiyallahu ‘anhu menuturkan:
“Umar ibnul Khaththab radhiyallhu ‘anhu datang kepada Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam dengan membawa sebuah kitab yang diperolehnya dari sebagian ahlul kitab. Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam pun membacanya lalu beliau marah seraya bersabda: “Apakah engkau termasuk orang yang bingung [2], wahai Ibnul Khaththab? Demi Dzat yang jiwaku berada di tangan-Nya, sungguh aku telah datang kepada kalian dengan membawa agama yang putih bersih. Janganlah kalian menanyakan sesuatu kepada mereka (ahlul kitab), sehingga mereka mengabarkan al-haq (kebenaran) kepada kalian namun kalian mendustakan al-haq tersebut. Atau mereka mengabarkan satu kebatilan lalu kalian membenarkan kebatilan tersebut. Demi Dzat yang jiwaku berada di tangan-Nya, seandainya Musa ‘alaihissalam masih hidup niscaya tidaklah melapangkannya kecuali dengan mengikuti aku.” (HR. Al-Imam Ahmad dalam Musnad-nya 3/387 dan Ad-Darimi dalam muqaddimah kitab Sunan-nya no. 436. Demikian pula Ibnu Abi ‘Ashim Asy-Syaibani dalam kitabnya As-Sunnah no. 50. Hadits ini dihasankan oleh imam ahlul hadits di jaman ini Asy-Syaikh Muhammad Nashiruddin Al-Albani v dalam Zhilalul Jannah fi Takhrij As-Sunnah dan Irwa`ul Ghalil no. 1589.)
Ini kerana, setelah adanya al-Quran, kesucian agama ini tetap dijaga dari sebarang kekeliruan, hatta Umar r.a bukanlah calang-calang orang, dan Taurat juga adalah Kitabullah, tetapi langkah Umar tetap ditegur Rasulullah SAW.
Maka sudah tentulah lebih-lebih lagi bagi umat Islam pasca kewafatan Rasulullah SAW, tidak boleh umat Islam sewenang-wenangnya diunjuk-unjuk dengan ajaran Kristian, dengan kitab Bible zaman kini yang penuh dengan perubahan, yang secara totalnya ditolak oleh ajaran Islam. Dan ini tanggungjawab kita baik sebagai individu, secara kolektif dalam NGO, maupun sebagai pemerintah di mana Islam termaktub sebagai agama Persekutuan untuk memelihara sebarang laluan yang mendorong kepada gejala murtad.
“Demi Dzat yang jiwaku berada di tangan-Nya, seandainya Musa ‘alaihissalam masih hidup niscaya tidaklah melapangkannya kecuali dengan mengikuti aku.”
Hanya kerana agama lain tidak mempunyai mekanisme menghalang penganut mereka dari memeluk agama lain, tidak boleh dipaksakan kriteria yang sedemikian ke atas Islam, kerana Islam sudah ada set yang lengkap memelihara kesucian agama.
Jujurnya, dalam sejarah tidak pernah terjumpa Rasulullah SAW merelakan umat baginda dimurtadkan atas dasar memelihara imej Islam. Begitu juga Saidina Umar ketika pembukaan kota Jerusalem, menaikkan imej Islam dengan gaya tawaddhuk seorang pemerintah Muslim membenarkan khadamnya menaiki unta, dan dengan ikrar memelihara keselamatan para rahib, pendeta dan gereja. Namun beliau sesekali tidak pernah tawar menawar untuk penukaran aqidah umat Islam.
HIMPUN adalah mengembalikan jiwa sensitiviti umat Islam ke atas hak agamanya, dan hak saudara seagamanya dari dicerobohi. HIMPUN tidak wajar dipolitik dan disabotaj mengikut kacamata politik sempit. HIMPUN memperbetulkan kembali dakyah songsang kaum liberalis yang mendambakan pujian dan pengiktirafan musuh agama. Maka usaplah ubun-ubun anak-anakmu, adik-adikmu, para pelajarmu dan pandanglah mereka dengan pandangan kasih seorang Muslim kepada saudaranya, maka tanyalah diri sendiri…. wajarkah aku menyertai HIMPUN?
Dr. Rafidah Hanim Mokhtar,
Ahli Majlis Wanita,
Ikatan Muslimin Malaysia

3 comments:

~ Lelaki ~ said...

salam ,, sya ingin bertanya... knp jemaah islam byk puak di malaysia .. sedgkan kesmua puak ini mengikut satu jemaah yg sama iaitu ikhwanul muslimin.....

Fahmi Bahrudin said...

W'slm. Dalam keadaan waqi' (semasa) sekarang yg dimna kita tiada khalifah@negara islam, jadinya pergerakan kumpulan2 kecil Islam yg komited utk menegakkan kalimah Tauhid itu realistik.

Ya, mmg apa kebaikannya banyak2 kumpulan2? tapi, lihat satu kumpulan itu mampu untuk menampung kekurangan kumpulan yg lain.. cth: kumpulan A yg kaya boleh support B yg xbrp kaya tp lebih mantap tarbiyyahnya.. Akhirnya kebaikan itu akan kembali semula kpd umat Islam.

izinkan saya bertanya klu x keberatan. anda kumpulan apa?

Anonymous said...

dok payoh tanyo. bio kan aje kita berdoa sentiasa duduk di bawah naungan Allah. murobbi said, ilmu yang dapat kene kecohkan,bukan organisasi yang kita hebahkan. peace yaw.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...