Oct 24, 2011

HIMPUN: Analisa Awal







Pada 22 Oktober yang lalu, telah tercipta satu sejarah baru di bumi Malaysia yang kita cintai ini. Perhimpunan Sejuta Umat anjuran bersama lebih dari puluhan malah ratusan NGO yang mewakili gerakan Islam dan suara Umat Islam di Malaysia berjaya diadakan.

Jika dilihat pada laporan-laporan yang diberikan oleh media massa, ada yang meletakkan angka hadirin 500, 1000, dan yang paling tinggi ialah 10,000. Alhamdulillah, menurut perangkaan yang disediakan oleh pihak pengurusan Stadium, lebih 20,000 hadirin dilaporkan memenuhi stadium pada hari bersejarah tersebut. Bukan nilai angka yang ingin saya bincangkan di sini. Sebaliknya, saya ingin membawa kita semua menyelusuri sebab apa HIMPUN itu dilaksanakan, tujuannya serta kesan jangka pendek dan jangka panjang. Saya mahu kita semua melupakan skeptik kita, buruk sangka kita dan saya seru agar kita sama-sama berlapang dada dalam meniliti kupasan ringkas ini.


Pra-HIMPUN   

Isu pengunaan kalimah Allah oleh sebuah majalah berkala terbitan sebuah institusi agama bukan Islam di Sarawak tidak lama dahulu mengundang perbincangan dan perdebatan hangat yang melibatkan banyak pihak. Pihak yang menyokong kebanyakannya membawa hujah kisah saidina Umar al-Khattab manakala yang menentang pula membawa tafsiran surah al-Ikhlas dan beberapa hujah lain. Dewan Rakyat turut bergoncang hebat. Sehinggalah isu ini diputuskan oleh mahkamah maka isu ini senyap seketika.

Serbuan ke atas sebuah pusat agama di Damansara oleh pihak berkuasa agama Islam baru-baru ini mengundang banyak perhatian dari pelbagai pihak. Ada yang membawa hujah bahawa Islam ini ialah agama hujah dan tertegak dengan hujah, dan tindakan penyerbuaan ini sebagai satu tindakan yang melanggar hak kebebasan beragama yang diamalkan di negara kita. Pihak yang menyokong tindakan itu pula bagaikan tidak mampu menahan perasaan ragu-ragu mereka di atas  penganjuran majlis itu setelah beberapa pendedahan mengejutkan  didedah di media massa. Di perdengarkan dengan lagu-lagu yang mengelirukan dan beberapa individu yang dilarikan secara sembunyi cukup membimbangkan. Tidak senang duduk mereka apabila memikiran perkara ini. Serangan jenis apakah yang telah dilancarkan kepada umat Islam Malaysia pada ketika ini?

Tuntutan IFC, kes lama Aisyah Bukhari, Kes Lina Joy dan beberapa lagi isu lain yang berkaitan.

Saya ingin bertanya. Tidak sedarkah kita yang kedua-dua pihak di atas iaitu penyokong dan penentang isu-isu di atas terdiri daripada orang-orang Islam sendiri? Tidak kiralah jika mereka ini menduduki kerusi-kerusi penting di Dewan Rakyat sehinggalah kaki-kaki lepak di kedai-kedai kopi, pasti akan ada percanggahan dan ketidaksepakatan dalam menghadapi isu-isu seperti ini.

Sedangkan pihak bukan Muslim kebanyakannya boleh bersepakat dalam isu-isu yang melibatkan kepentingan mereka bersama. Maaf, saya bukan hendak menimbulkan provokasi di sini, sebaliknya mahu kita sama-sama berfikir. Saya bawa contoh isu pelaksanaan hukum Hudud, Takzir dan Qisas yang hangat ditimbulkan baru-baru ini. Kita dapat melihat dua buah parti politik yang didokongi oleh orang bukan Islam secara jelas menentang dan menolak mentah-mentah cadangan ini. Sedangkan, dua buah parti politik yang diterajui oleh orang Islam memang secara asasnya berlainan ideologi tidak mampu meletakkan kesepakatan dalam tindakan atas isu ini. Dan akhirnya, cadangan hanya tinggal cadangan, sia-sia kekal menjadi sia-sia, retorik terus dengan retoriknya. Saya ingin bertanya sekali lagi. Di mana keseriusan pihak yang membawa usul ini dan pihak yang dianjurkan dengan usul ini. Yang kedua-duanya terdiri daripada orang-orang Islam?

Pada pendapat saya, HIMPUN ini seolah-olah satu manifestasi kekecewaan NGO-NGO Islam dalam reaksi dan tindakan kedua-dua pihak, Kerajaan dan Pembangkang dalam menyelesaikan isu-isu yang melibatkan kepentingan bersama umat Islam yang berjumlah hampir 15 juta ini. Mewakili suara-suara umat Islam yang sudah tidak mampu menahan rasa tidak senang mereka terhadap situasi yang sedang berlaku ini.  

Pada pendapat saya, atas dasar itulah HIMPUN ditubuhkan. Diterajui oleh beberapa NGO Islam yang menyedari pentingnya untuk umat Islam di Malaysia khususnya untuk menyedari ancaman besar yang sedang melanda mereka.iaitu murtad dan usaha menghilangkan jati diri Muslim dalam diri setiap Muslim di Malaysia.


HIMPUN Propaganda UMNO?

Ingin saya tegaskan di sini, HIMPUN bukan propaganda UMNO. Maaf, saya terpaksa menyebut nama sebuah parti politik yang mewakili suara orang Melayu di Malaysia yang kita sangat cintai ini. UMNO hanya terlibat sebagai penyokong, bukan sebagai ahli-ahli jawatankuasa atau sekereteriat, itu pun hanya menerusi sayap pemudanya. Jika dikatakan HIMPUN sebagai alat UMNO untuk menampakkan mereka sebagai pejuang Islam dan Melayu tulen, PAS juga boleh dianggap sebagai menjadikan HIMPUN ini alat propaganda mereka. Ini adalah kerana PAS menerusi sayap pemudanya secara terang-terangan menyatakan sokongan mereka terhadap HIMPUN. Maaf penyokong UMNO dan PAS. Saya amat menghormati kedua-dua pihak sebagai saudara seakidah saya.

 Bagi saya, hal ini tiada masalah dan tidak perlulah sampai tuduh-menuduh, saling berprasangka jika kita meletakkan kepentingan ummah dan Islam melebihi pandangan politik kita. Maaf jika saya katakan bahawa kita ini terlalu sibuk dengan politik sampai menjadi taksub dan tidak menyedari kepentingan mana yang harus diutamakan. Soal survival politik atau soal kepentingan akidah Ummah?

Saya menyedari HIMPUN adalah satu platform terbaik untuk mengumpulkan umat Islam di Malaysia ini yang diibaratkan oleh Rasulullah SAW sebagai satu tubuh yang saling kukuh-mengukuhkan antara satu sama lain. Bukan lagi sebagai penyokong UMNO, penyokong PAS, pendokong mana-mana Individu berpengaruh, Jamaah Tarbiyah atau ahli persatuan Bahasa Melayu atau ahli Persatuan Congkak. Ya, sebagai satu Ummah yang Allah pelbagaikan dengan pelbagai rupa tetapi berkongsi fahaman akidah yang sama, iaitu mengEsakan Allah SWT.

Saya sendiri hadir pada perhimpunan tersebut sebagai salah seorang urusetia yang bertugas mengawal hadirin dan suasana perhimpunan. Ya, saya secara peribadi tidak bersetuju dengan tindakan sebuah kumpulan yang hadir dan menimbulkan publisiti seolah-olah mereka sahajalah yang menjadi penganjur utama perhimpunan. Mungkin kejadian tersebut menimbulkan kritikan terhadap penganjuran HIMPUN yang mengatakan seolah-olah HIMPUN adalah alat promosi murahan kumpulan tersebut yang kemudiannya dikaitkan dengan UMNO. Point utama saya di sini ialah saya sendiri yang berada di tempat kejadian lebih tahu apa yang berlaku dari pihak yang hanya menonton di massa dan kemudiannya memberi penghakiman yang tidak tepat. Pihak-pihak inilah yang menulis di blog-blog, komentar-komentar di laman sosial, memperlekeh HIMPUN seolah-olah mereka tahu segala-galanya. Saya seru supaya kita sama-sama mengambil sikap menyelidik dan tidak terlalu mengikut emosi dan akal yang singkat dalam menghakimi sesuatu perkara. Yang menyedihkan, sebahagian dari komentar-komentar itu diluahkan oleh golongan Mahasiswa yang seharusnya lebih matang dalam membuat penghakiman.

 “Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini - dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.”
(Al-Hujuraat,49:6)

Antara perkara yang menyebabkan saya menggelengkan kepala ialah apabila membaca komen dari seseorang yang mempersoalkan perlukah berhimpun untuk menyelamatkan akidah? Sedangkan terlihat gambar profilnya di latari oleh sebuah logo gerakan membersihkan pilihanraya yang juga pernah menganjurkan perhimpunan satu ketika dahulu. Saya akan menjawab pertanyannya dengan satu pertanyaan. “Perlukah berhimpun untuk membersihkan pilihanraya?”

Seruan Saya

Kerana itu saya menyeru semua pihak khususnya golongan Mahasiswa yang bakal menerajui Negara kita yang tercinta ini supaya lebih berfikiran terbuka, membersihkan minda dari taksub kepada mana-mana pihak dan bertindak dengan lebih bijak dalam menghadapi sesuatu isu. Saya juga menyeru kepada mahasiswa untuk lebih cakna iaitu mengambil tahu dan peka dengan perkembangan umat Islam dan juga cabaran, masalah semasa dan ancaman yang dihadapi umat Islam. Akhir sekali, berusahalah untuk mencari kesepakatan bersama bagi memastikan kepentingan umat Islam keseluruhannya dan seluruh rakyat Malaysia amnya terjamin.







MOHD ZUL FAHMI BIN MD BAHRUDIN
Naib Presiden II
Persatuan Islam Universiti Monash
Malaysia.










No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...