Apr 22, 2012

Akan Tiba Saatnya.



“Dan segala sesuatu Kami ciptakan berpasang-pasangan supaya kamu mengingat akan kebesaran Allah.”
(Az-Dzariyat: 49)



Bismillah.

Sebenarnya, saya memang keberatan untuk menulis perkara ini. Bukan kerana saya mengganggap diri saya sebagai seorang yang syadid atau sempurna, tetapi sungguh memang saya keberatan.


Pertama-tamanya ribuan kemaafan saya pinta jika apa yang dibaca di bawah ini tersinggung di mana-mana. Bukan niat untuk menyinggung kerana ini merupakan kisah saya sendiri, cerita dalam hati seorang insan biasa.


Saya dan BM..

Apabila topik ini diperdengarkan, diulang-ulang tayang, saya akui bahawa saya tidak pernah jemu untuk membincangkannya, hatta sekecil-kecil menjadi pendengar setia.

Memang diakui, usia-usia seperti ini adalah satu fasa yang amat kritikal bagi mereka yang terlibat dalam dunia tarbiyyah sama ada bergelar dai’e, sahabat mahupun ikhwah. Apabila ditanya bilakah masa yang sesuai untuk mendaftar sebagai calon yang bersedia menjadi seorang suami atau bilakah hendak menamatkan zaman bujang trang tang-tang ini, saya hanya akan rasa segan-segan atau kadang-kala menjadi stress jika tidak kena pada masanya.

Ini persoalan yang sensitif. Boleh menimbulkan suka, boleh juga menjadi duka. Kadang-kadang boleh membuat kita termenung atau tersenyum sendiri.

Persoalan ini abstrak.

Tidak boleh diselesaikan dengan persamaan seperti x+3= y

Atau dibuat sebuah kajian yang ada methodintroduction, discussion dan berakhir dengan conclusion.



Siapa ‘the other half of me’?

Ini merupakan puncak kepada persoalan tentang BM.

Bagi yang telah mempunyai calon, bolehlah menarik nafas lega, Alhamdulillah. Tetapi soalan ini akan menjadi beban yang sangat berat untuk difikirkan oleh mereka yang tidak ada senarai calon-calon yang boleh dipertimbangkan. Mungkin jadi saya termasuk dalam golongan yang kedua ini.

Berat memikirkan tentang siapa yang akan berdiri di sebelah ini, menjadi penguat semangat, penawar, penyeri, penenang hati dan penyempurna diri yang serba kekurangan ini.

 Berat memang berat. Adakah si ‘A’ ini, atau si ‘B’ atau si ‘C’ yang kita tidak pernah kenal atau jangka pun untuk menjadi insan yang paling rapat dengan kita.

Itu baru persoalan ‘A’, ‘B’ atau C.


Sempurna

Semasa remaja dahulu saya pernah melihat bagaimana seorang lelaki yang langsung tidak mencerminkan peribadi seorang muslim yang soleh menjawab ketika ditanya ciri-ciri wanita yang mahu dijadikan isteri.

Katanya.

Aku mahukan seorang wanita yang solehah

Jawapan ini merupakan jawapan yang fitrah. Biarlah tidak baik bagaimanapun seorang lelaki itu, asalkan wanita yang bakal menjadi pelengkap hidupnya itu seorang wanita yang solehah.

Itu mereka, tetapi bagi saya?

Yang tidaklah baik sangat, berbicara banyak perkara kosong, masih bermain game, nakal… hanya syok sendiri sebagai seorang muslim yang soleh. Seorang yang perasan dirinya sudah cukup baik dengan pergi ke usrah, terlibat dalam amal-amal islami.


Jika ditanya kepada saya sudah tentu jawapannya sama. Solehah.

Sahabat-sahabat saya juga tentu mengimpikan ciri-ciri yang sama.

Saya pernah berangan-angan untuk mendapat calon yang sempurna.

Cantik.

Hafizah.

Penyayang.

Mudah memahami.

Ceria.

Lemah-lembut.

Sopan-santun.


Tetapi.


Saya sedar yang saya tidak disunnahkan untuk bernikah dengan seorang bidadari syurga, sebaliknya seorang muslimah.

Insan biasa, yang saya harus terima serba-serbinya. Redha dengan baik dan buruknya. Bersabar dengan kerenah dan rajuknya.

Kerana.

‘Dia’ nanti perlu melakukan perkara yang sama. Malah mungkin lebih lagi.

Untuk menerima seorang lelaki yang tidak sempurna sebagai pembimbing hidupnya, tempat ‘Dia’ berkongsi cerita, duka, suka, tangis, gembira, lengan untuk menumpahkan air matanya.

Dahulu.

Dalam solat, saya pernah berdoa agar mendapat seorang isteri yang sempurna. Sehinggalah saya sedar bahawa mungkin doa saya salah kerana tidak semestinya seorang yang sempurna itu sesuai untuk saya.

Semenjak itu, saya berdoa agar dikurniakan permata hati yang sempurna untuk diri saya.
Perempuan yang jahat untuk lelaki yang jahat dan lelaki yang jahat untuk perempuan yang jahat, perempuan yang baik untuk lelaki yang baik dan lelaki yang baik untuk perempuan yang baik.”

(an-Nur':26)

Berat

Memang berat memikirkan dan berteka-teka sama ada untuk memilih seorang yang berada dalam tarbiyyah tetapi di kumpulan berbeza.

Atau memilih seorang yang lebih tua, sebaya atau lebih muda usianya.

Atau meletakkan piawai tertentu seperti perlu memakai cermin mata atau rendah sedikit dari saya.

Atau seorang yang kampungnya dekat dengan kampong saya, atau memilih yang jauh di ceruk rantau di utara atau di timur.

Atau memilih seorang yang berkerjaya cikgu atau yang lainnya.

Persoalan-persoalan seperti ini sangat membebankan.

Kepada Allah saya sandarkan harapan.

Semoga jawapan ini yang terbaik.

Untuk saya bawa diri saya dan dia di jannatul firdausi.

Amin. 



[Fahmi]: Fullstop.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...